PARENTING BOOK PART 1

 

PENGENALAN

Anak merupakan amanah Allah kepada ibubapa. Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda:

"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci yakni Muslim).  Kedua-dua orang tuanyalah yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi."(Bukhari)

Menurut Imam Al-Ghazali pula, anak adalah seperti sebutir batu permata yang belum digilap. Ibu bapalah yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan berkilauan. Jelas, ibu bapalah yang akan menentukan sama ada anak-anaknya "menjadi" atau tidak.

Semua ibu bapa mahu membesarkan anak-anak mereka untuk menjadi insan yang mulia tetapi ramai yang tidak tahu cara yang berkesan untuk melakukannya.

Dua perkara pokok diperlukan:

  1. Ibu bapa perlu mengetahui bagaimana keperibadian terbentuk.

  2. Ibu bapa perlu mempunyai suatu nilai sebagai asas kepada keperibadian anaknya; nilai ini adalah nilai keperibadian Islam dan anak-anak perlu dibesarkan sebagai Khalifah Allah.

Dengan menggabungkan kedua-dua aspek ini ibu bapa akan dapat membentuk anak-anak yang akan menjadi insan yang cemerlang di dunia dan insan yang cemerlang di akhirat.

 

 

Apakah faktor yang mempengaruhi pembentukan keperibadian?

Faktor utama yang menentukan keperibadian seseorang ialah faktor persekitaran.

Tiga faktor persekitaran yang mempengaruhi keperibadian individu:

  1. persekitaran fizikal


  2. persekitaran sosial


  3. kata hati (inner speech)

Satu faktor dalaman yang bertindak sebagai penapis ialah PERSEPSI.

  1. Persekitaran fizikal (Prasarana dan kemudahan awam)


  2. Persekitaran sosial (Komunikasi interpersonal)


    1. perhubungan sesama manusia
      • ibubapa
      • keluarga
      • rakan
      • guru
      • orang sekeliling


    2. perisian perkara-perkara yang dicipta oleh manusia
      • TV
      • Video
      • Komputer
      • Muzik

  3. Kata hati


    • Adalah perkara-perkara yang kita kata kepada diri kita sendiri.
    • Kata hati berperanan untuk menentukan tindak-tanduk individu.
    • Ia terbentuk melalui pengalaman dari pembelajaran masa lampau dan menentukan persepsi mengenai sesuatu perkara.
    • Ia memain peranan yang besar di dalam membezakan antara baik dan buruk.


 



 

PERSEPSI atau TANGGAPAN

  • Persepsi mentafsirkan sebarang maklumat yang diterima dan bertindak sebagai penapis.
  • Persepsi setiap individu berbeza kerana ia dipengaruhi oleh faktor persekitaran (fizikal, sosial dan kata hati) dan Pembelajaran Masa Lampau (PML) individu berkenaan.

Contoh perbezaan persepsi tentang rokok:

  • Pada orang yang merokok, rokok dianggap nikmat, bergaya dan berstatus
  • Pada yang tak merokok, rokok dianggap busuk, berpenyakit dan membazir
  • Di dalam membesarkan anak-anak ibu bapa perlu wujudkan PERSEPSI Islam.

 

Ibu bapa perlu pastikan supaya pembelajaran masa lampau (PML) anak-anak adalah positif:

  1. Perwatakan seseorang bergantung kepada jenis pendedahan yang mereka terima sama ada berunsur positif atau negatif.


  2. Setiap pendedahan ini akan tertanam di dalam pemikiran mereka sebagai pembelajaran masa lampau.


  3. PML menentukan perwatakan kanak-kanak dan PML dipengaruhi oleh 3 faktor di mana faktor manusia dan kata hati adalah sangat penting.


  4. PML akan menentukan keperibadian, pemikiran, tindak-tanduk, dan segalanya tentang siapa kita.


  5. Yang kita hendak sasarkan adalah PML yang positif supaya anak kita menjadi insan yang cemerlang.


Matlamat kita sebagai ibu bapa adalah untuk membentuk keperibadian positif dalam anak-anak.

Contoh keperibadian positif:

  • Kasih pada Allah
  • Kasih sesama manusia
  • Hormat-menghormati
  • Bertimbang rasa
  • Bersopan
  • Tidak bergaduh sesama saudara
  • Rajin belajar
  • Istiqamah di dalam sesuatu pekerjaan

 

Apakah jenis input yang perlu kita berikan untuk membentuk PML yang positif?

  1. Dengan memberi GANJARAN kepada setiap perkara positif (baik) yang dilakukan oleh anak kita.


  2. Dengan memberi GANJARAN setiap kali anak kita TIDAK melakukan perkara negatif (tidak baik).


  3. Amalan sebegini dipanggil PENGARUH POSITIF TERARAH (directed positive influence)


  4. Pengaruh positif terarah bermaksud memberi ganjaran kepada anak kita setiap kali mereka melakukan perkara yang baik atau meninggalkan perkara yang dilarang serta menegur kesilapan mereka dengan cara yang baik apabila mereka melakukan sesuatu kesalahan.


  5. Dengan cara ini, mereka akan terdorong untuk terus melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara yang tidak baik.

Bagaimanakah GANJARAN diberikan?

  • Beri perhatian
  • Beri penghormatan, pengiktirafan
  • Beri kata-kata pujian
  • Beri kata-kata perangsang
  • Ucap terima kasih
  • Sebut-sebutkan perkara baik yang dilakukan oleh anak kita
  • Tunjuk kasih sayang dengan perkataan dan perbuatan
  • Beri hadiah (tetapi tidak perlu kerap)
  • Bawa anak berjalan
  • Anak-anak boleh diajar memberi ganjaran pada diri sendiri dengan menggunakan kata hati.

 
PERANAN KATA HATI KISAH YUSUF DI KUALA LUMPUR .....

Yusuf berasal dari kampung dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan didikan agama yang mantap. Semasa menunggu keputusan SPM, dia menziarahi ibu saudaranya di Kuala Lumpur dan telah dibawa oleh sepupunya ke suatu majlis sambutan harijadi. Majlis ini melibatkan remaja sahaja dengan muzik dan tari menari. Tiba-tiba datang sekumpulan anak muda membawa satu karton arak dan mula mengedarnya kepada mereka yang hadir. Yusuf juga diberi satu tin arak. Dia terus menolaknya. Rakan yang baru dikenalinya mempelawa lagi.

"Ala relaks la, nak suruh rasa aje. Bukan mabuk pun. Kita orang semua dah rasa, tak ada apa-apa pun."

Yusuf berkata pada dirinya, "Arak memang haram dan aku mesti kuatkan pendirian aku. Biarlah mereka kata aku kolot tapi aku tidak akan benarkan keseronokan sementara ini menggoyang imanku. Mereka tak mahu berkawan dengan aku pun tak mengapa. Mungkin elok juga aku tinggalkan majlis ini. Dari tadi aku tak senang duduk dengan tari menari dan pergaulan bebas macam ini."

Yusuf mengajak sepupunya pulang yang kebetulan juga tidak menyangka majlis tersebut disambut sedemikian rupa. Dalam perjalanan pulang Yusuf berkata kepada dirinya, "Aku bangga dengan diriku yang tidak mudah terpengaruh. Semoga Allah sentiasa membimbing aku di jalan yang lurus."

Perhatikan dari contoh di atas Yusuf telah menggunakan kata hati secara positif dalam dua keadaan:

  1. Meyakinkan dirinya supaya tidak terpengaruh dengan desakan rakan untuk melakukan perkara mungkar.


  2. Memberi ganjaran kepada dirinya sendiri setelah berjaya menahan dirinya daripada melakukan kejahatan.


    • Kata hati boleh mempengaruhi tindak tanduk seseorang secara positif atau negatif. Ia bergantung kepada PML dan persepsi individu.


    • Didikan anak-anak dari kecil untuk menjadi Khalifah Allah akan memupuk pembentukan kata hati yang bersifat positif.


Sebagaimana Allah jadikan (Sunnatullah) kejadian dan perjalanan alam dan semua makhluk mengikut Hukum-Hukum Fizik, Kimia dan Biologi, Allah jadikan (Sunnatullah) cara ilmu diperolehi mengikut Hukum Pembelajaran.

  • Hukum Pembelajaran menerangkan bagaimana kita mempelajari sesuatu:


    1. Semua perbuatan sama ada baik atau buruk diperkukuhkan melalui pemberian ganjaran atau denda.


    2. Pemberian ganjaran selepas sesuatu perbuatan akan meningkatkan kebarangkalian perbuatan itu diulangi dari segi kekerapan dan kesungguhan. (Prinsip ini diutamakan dalam membentuk keperibadian positif)


    3. Mengenakan denda selepas sesuatu perbuatan akan mengurangkan kebarangkalian perbuatan itu diulangi. (Prinsip ini tidak berkesan untuk membentuk keperibadian positif jangka panjang)


    4. PENGUKUHAN (reinforcement) secara berterusan akan membentuk keperibadian individu.


    5. Proses membentuk peribadi adalah melalui langkah-langkah kecil yang menuju kepada matlamat akhir (tabiat baik). Ini dipanggil PROSES PEMBENTUKAN (shaping process).


    6. Pencapaian pada setiap langkah kecil diperkukuhkan secara positif dalam bentuk ganjaran.


    7. Proses pembentukan boleh dijadikan berkesan dengan membantu anak-anak memberi ganjaran sendiri (self-rewarding) melalui kata hati.

Matlamat: Anak memastikan bilik tidurnya sentiasa kemas dan teratur. Matlamat ini boleh dicapai melalui langkah-langkah kecil berikut untuk anak kita lakukan:

  • Langkah 1: Tuala disidai dan baju untuk dibasuh dimasukkan ke dalam bakul, jangan dibiarkan pakaian bertaburan di atas lantai.


  • Langkah 2: Katil dikemaskan setiap pagi dan lantai disapu


  • Langkah 3: Habuk dilap dan buku-buku di atas meja disusun kemas


  • Langkah 4: Bilik dihiaskan


  • Langkah 5: Keseluruhan bilik sentiasa kemas dan teratur


Apabila sasaran dicapai pada setiap langkah, anak-anak diberi ganjaran dalam bentuk kata-kata perangsang, pengiktirafan dan sekali sekala dihadiahkan ais krim atau sebagainya.

 

 

BACK | NEXT